Wednesday, January 26, 2011

bolehkah semua ibu menyusu??

Secara lumrahnya setiap ibu yang baru melahirkan anak dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan pengetahuan, setiap ibu boleh melakukannya.

Saiz payudara tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan merangsang penghasilan susu ibu yang banyak. mengikut permintaan bayi. Mereka yang mempunyai masalah puting susu yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya membenarkan masalah ini menghalang mereka daripada menyusuan anak mereka dengan susu ibu. Jika menghadapi masalah sebegini, mereka sebaiknya mendapatkan bantuan professional yang boleh membantu mereka.

Persediaan Semasa Hamil
Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan baca sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan anak. Jika berpeluang, hadiri kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda. Payudara anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran kelenjar-kelenjar susu. Untuk menanpung payudara, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci payudara. Elakkan penggunaan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit payudara.
Pastikan payudara diperiksa oleh doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah di payudara.
Ikuti kelas atau ceramah mengenai penyusuan susu ibu yang terdapat di tempat anda, ini boleh membantu anda mengetahui lebih mendalam mengenai penyusuan dengan susu ibu.
Pada bulan-bulan akhir, pelajari cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi.

Selepas Melahirkan Bayi
Hari-hari pertama selepas kelahiran memang meletihkan. Kuatkan semangat dan susui bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seorang ibu.
Susui bayi anda dengan kerap mengikut permintaanya dan bukan mengikut jadual yang tertentu. Jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkan dan galakkan dia menyusu lebih kurang setiap 2 jam.
Hari-hari pertama merupakan waktu-waktu yang penting. Payudara mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini sangat berkhasiat. Susu awal ibu tidak banyak tetapi ianya pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolosterum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolosterum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol atau air masak.
Buat permulaan, bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlainan daripada bayi yang lain.
Susui bayi anda dengan kedudukan yang selesa samada duduk atau berbaring. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang jika perlu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masalah seperti sakit puting atau kurang susu.
Jika anda menghadapi masalah, kami syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.

Petua Penyusuan Yang Berjaya
Persediaan mental sebelum kelahiran adalah penting. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan susu ibu semasa hamil. Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda. Susui bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi. Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan masalah seperti sakit puting. Makan makanan yang seimbang dan minum air yang mencukupi. Perly diingatkan bahawa bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu, semakin banyak susu akan dihasilkan.
Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya susu yang terbaik. Jangan berikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak. Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu sehingga berusia 4 hingga 6 bulan. Cara menghisap puting botol dan puting payudara adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan ibu tidak akan berjaya untuk menyusukan bayi. Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah masa ’ latihan’ untuk ibu dan bayi. Ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah. Jangan risaukan kekerapan bayi membuang air besar. Ini merupakan perkara biasa bagi bayi yang diberi susu ibu. Najis biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga perkara biasa.

Dapatkan Nasihat dan Sokongan
Pastikan anda mendapatkan bantuan dan cara-cara yang tepat bila menghadapi apa jua masalah penyusuan susu ibu dari pihak hospital, klinik atau doktor anda.

p/s : sumber adalah daripada mamababyworld.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Designed By Blogs Gone Wild!